Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

     Penceritaan saya pada kali ini adalah tentang pengalaman pertama berada di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Perjalanan saya ke UKM bermula pada 8 Oktober 2022 yang merupakan hari pendaftaran masuk di Kolej Keris Mas. Saya bersama keluarga bergerak dari Johor Bahru ke Bangi menaiki kereta pakcik saudara. Kami bergerak pada pukul 9 dan tiba di Kolej Keris Mas pada pukul 12 tengahari. Proses pendaftaran berjalan dengan lancar kerana pada waktu tersebut ramai pelajar telah mendaftar masuk ke kolej. Selesai mendaftar, kami bersama-sama mengangkat barang naik ke bilik yang berada di aras 5. Selesai mengangkat barang, kami keluar untuk makan bersama-sama buat kali terakhir. Perkara ini sangat sukar bagi diri saya kerana terpaksa berjauhan dari keluarga demi melanjutkan pelajaran di UKM. Hasrat dan harapan keluarga untuk melihat saya berjaya sudah semestinya tidak akan dilupakan sama sekali. Pengalaman tinggal di kolej juga merupakan pengalaman pertama yang perlu saya tempuhi selama 3 tahun di UKM kerana sebelum ini saya tidak pernah tinggal di asrama sewaktu zaman persekolahan. Namun, saya yakin akan dapat menyesuaikan diri dengan suasana di tempat baharu.  

Gambar bersama ahli keluarga

     Seterusnya, saya ingin menceritakan pengalaman sepanjang Minggu Apresiasi Watan (MAW) yang merupakan minggu pengenalan buat pelajar baharu UKM. Minggu Apresiasi Watan ini berlangsung selama 5 hari iaitu dari 8 Oktober sehingga 12 Oktober. Sepanjang Minggu Apresiasi Watan, banyak aktiviti yang telah kami lakukan dan sudah tentu memberikan pengalaman berharga buat kami semua. Pada hari pertama, kolej menjalankan program Naratif Baharu Kolej Akademia yang merupakan sesi pengenalan kepada Pengetua Kolej, Barisan Pengurusan Kolej, Felo Blok serta Ahli Majlis Eksekutif Pelajar. Pada hari kedua, majlis pembukaan Minggu Apresiasi Watan telah dijalankan di Dewan Canselor Tunku Abdul Razak (DECTAR). Majlis ini merupakan perasmian kepada aktiviti yang akan  dijalankan sepanjang Mingggu Apresiasi Watan. Seterusnya, pada waktu petang hingga malam, semua pelajar baharu mendengar slot interaksi bersama PTPTN dan PTj serta bicara teras bersama ikon pelajar dan alumni UKM. Di sini kami didedahkan sedikit sebanyak berkaitan pinjaman dan biasiswa yang boleh dipohon untuk membantu dalam pembayaran yuran pengajian di UKM. Bicara teras pula menampilkan ikon-ikon seperti Azzim Zahid Azmi yang merupakan pengasas Bulan Bintang yang terkenal dengan produk Baju Melayu.

Gambar Minggu Apresiasi Watan 

     Pada keesokan harinya, semua pelajar baharu dibawa ke fakulti masing-masing untuk program bersama fakulti. Saya bersama rakan-rakan bergerak seawal 7 pagi ke Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) kerana terdapat program taklimat pengurusan FEP serta aktiviti mentor mentee bersama para pensyarah. Program yang dijalankan sedikit sebanyak dapat membantu saya dan rakan-rakan mengetahui selok belok fakulti serta mengenali para pensyarah. Pada waktu malam, program Maulidur Rasul dan Ceramah Jati Diri diadakan di Masjid UKM.  Kami bersama sama selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W dan mendengar ceramah yang bertajuk 'Jati Diri Watan Dalam Keperibadian Rasulullah S.A.W.'.

Video program Maulidur Rasul

    Pada hari keempat, kami bergerak ke Dewan Gemilang untuk menjayakan aktiviti senamrobik bersama pusat sukan UKM. Aktiviti ini sangat menyeronokkan kerana semua pelajar bersama-sama melakukan senamrobik bagi memastikan badan sentiasa sihat dan cergas sepanjang Minggu Apresiasi Watan. Pada malamnya pula, semua pelajar baharu bergerak ke Stadium UKM untuk menyaksikan perbarisan antara kolej yang diwakili oleh pelajar baharu serta perlawanan bola sepak antara pengurusan tertinggi dan pelajar tahun satu UKM. Pada hari terakhir, majlis amanat Naib Canselor dan bacaan ikrar diadakan di DECTAR. Maka dengan itu, kami secara rasminya bergelar mahasiswa UKM, Pada malam terakhir, Konsert Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta dilaksanakan di DECTAR dengan menyajikan pelbagai persembahan nyanyian dan tarian yang terdiri daripada pelajar baharu kolej masing-masing. Hal ini merupakan momen indah yang akan tersemat dalam ingatan sepanjang bergelar mahasiswa UKM.

Gambar persediaan perbarisan kolej 

Gambar perlawanan bola sepak  

Gambar Konsert Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta

Persembahan tarian pelajar baharu UKM