Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

     Penceritaan saya pada kali ini adalah berkaitan kampung halaman yang tercinta iaitu Sabah. Suatu perkara yang sangat mencabar adalah meninggalkan Sabah bagi melanjutkan pelajaran di UKM. Namun, cabaran ini perlu ditempuhi bagi mengecapi cita-cita yang diidamkan. Sabah merupakan negeri yang mempunyai pelbagai jenis etnik dan budaya. Sebagai contoh, terdapat kaum Dusun, Brunei, Bajau dan Bugis. Walaupun berbeza bangsa, rakyat Sabah hidup secara aman dan harmoni serta menghormati adat serta budaya masing-masing. Saya merupakan seorang yang berbangsa Brunei. Untuk pengetahuan,  bangsa Brunei ini wujud pada zaman penjajahan kerajaan Brunei di Sabah. Pada ketika itu, orang-orang Brunei berkahwin dengan orang tempatan. Maka, lahirlah keturunan Brunei yang merupakan salah satu kaum Bumiputera Sabah. Seperti yang sedia maklum, setiap bangsa  di Sabah mempunyai adat dan budaya masing-masing. Bagi bangsa Brunei pula, ia terkenal dengan makanan tradisional Brunei, bahasa yang unik dan pakaian tradisional.

Gambar Pakaian Tradisional Brunei 


     Selain itu, Sabah turut dikenali sebagai kawasan pelancongan yang kaya dengan keindahan alam dan pelbagai kawasan yang menarik untuk dikunjungi. Tumpuan utama sudah semestinya Gunung tertinggi di Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu. Gunung ini berketinggian 4095 meter dari aras laut. Gunung ini berada di kawasan pekan Kundasang, Sabah. Kawasan ini merupakan tempat tarikan pelancong luar negara dan pelancong tempatan. Hal ini kerana, kawasan yang sejuk, pemandangan yang indah serta pelbagai tempat menarik boleh dikunjungi. Pengalaman saya berada di Kundasang ketika musim cuti bersama rakan dan keluarga merupakan momen indah kerana dapat meluangkan masa berharga bersama-sama sambil menikmati pemandangan Gunung Kinabalu dan mengunjungi kawasan-kawasan menarik sekitarnya. Antaranya ialah Ladang Tenusu Desa Cattle yang merupakan kawasan memproses susu lembu. Kawasan ini sangat menarik kerana boleh melihat lembu-lembu yang diternak serta proses penghasilan susu lembu. Selain itu, terdapat Taman Negara Kinabalu yang terletak di kawasan kaki gunung Kinabalu yang dihiasi dengan hutan hujan tropika. Tempat ini boleh memberi pengalaman baru kepada pengunjung untuk menikmati keindahan alam sambil melihat flora dan fauna yang masih terpelihara seperti bunga Raflesia yang semakin pupus ditelan zaman. 

Gambar Gunung Kinabalu

Video Pemandangan Gunung Kinabalu

     Seterusnya, beralih kepada bandar Kota Kinabalu yang merupakan ibu negeri Sabah. Bandar Kota Kinabalu sudah semestinya menjamin tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi orang ramai. Pertama ialah Taman Tunku Abdul Rahman yang meliputi lima buah pulau iaitu Pulau Gaya, Pulau Manukan, Pulau Mamutik,  Pulau Sapi dan Pulau Sulug. Pulau-pulau ini merupakan tempat perlindungan pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan. Kedua ialah pasar Filipin yang menjual kraftangan, mutiara, barang perhiasan, pasar basah dan gerai makanan laut. Tempat tarikan utama sudah semestinya gerai makanan laut yang menjual sotong, udang, ketam dan ikan dengan  harga yang berpatutan. Ketiga adalah pantai Tanjung Aru yang merupakan kawasan terkenal dengan pemandangan matahari terbenam. Tempat ini menjadi tarikan kerana pemandangan yang indah dan menenangkan. Di sini juga terdapat gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis makanan untuk dinikmati sambil melihat keindahan alam. Seterusnya ialah Air Terjun Ulu Kionsom yang turut terletak di Kota Kinabalu. Pengalaman saya bersama rakan-rakan tidak dapat dilupakan ketika kami bermandi manda sambil menikmati keindahan alam semulajadi di kawasan air terjun ini. Air terjun ini mempunyai 4 tingkat kesemuanya namun tingkat 3 dan 4 sukar untuk dikunjungi kerana kawasan yang agak jauh dan bentuk permukaan batu yang bercerun dan licin.

Gambar Pantai Tanjung Aru

Gambar di Air Terjun Ulu Kionsom

                                                         Video Air Terjun Ulu Kionsom