Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Untuk penulisan pada kali ini saya ingin menceritakan mengenai kampung halaman saya yang juga merupakan tempat berasalnya saya. Saya berasal dari negeri Selangor dan sudah semestinya saya mempunyai banyak pengalamnan di negeri ini berbanding negeri-negeri lain. Dari segi geografinya  negeri Selangor Darul Ehsan terletak di bahagian tengah pantai barat Semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Perak di sebelah utara, Pahang di sebelah timur dan Negeri Sembilan di sebelah selatan.  Walaupun wujud beberapa pendapat mengenai asal usul nama Selangor, namun sejarah membuktikan bahawa ia diambil sempena nama Sungai Selangor yang mengalir ke Selat Melaka menerusi kawasan petempatan yang kini dikenali sebagai Kuala Selangor. Sejak dari peringkat awal penubuhannya, Negeri Selangor telah berkembang  sebagai pusat perdagangan dan pengeluaran bijih timah di bawah pemerintahan Kesultanan Selangor dan pada 27 Ogos 2005 Selangor dianggap sebagai negeri berstatus maju yang pertama di Malaysia. Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj merupakan sultan Selangor 22 November 2001 hingga kini.


                                              Gambar menunjukkan bendera negeri Selangor


 

                                  Gambar ini menunjukkan Istana Alam Shah di Klang, Selangor


Negeri Selangor mempunyai banyak tempat-tempat menarik yang boleh dilawati. Negeri Selangor juga menerima banyak pelancong-pelancong sama ada dari dalam atau luar negara. Antara tempat menarik yang sering menjadi tumpuan pelancong dan penduduk ialah Sunway Lagoon, Setia City Mall, Uptown Shah Alam, I-City dan Tanjung Harapan. Tempat- tempat ini merupakan antara yang wajib disinggahi oleh pelancong dan penduduk. Selain itu, salah satu mercu tanda bagi negeri Selangor ialah masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz yang juga dikenali sebagai masjid negeri. Masjid ini terletak di Shah Alam dan merupakan masjid terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara.



                          Gambar ini merupakan salah satu tempat menarik di I-City Shah Alam


                                 

                                    Gambar ini merupakan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz


  

                                Gambar menujukkan  permandangan di Tanjung Harapan, Selangor



                          Gambar ini menunjukkan saya semasa berada  di Tanjung Harapan, Selangor


Di samping itu, negeri Selangor juga merupakan tempat wujudnya pelbagai jenis makanan. Nasi kandar merupakan salah satu makanan yang popular di Selangor kerana sering mendapat permintaan yang tinggi terhadap makanan tersebut. Nasi kandar bukan sahaja boleh diperolehi di Pulau Pinang, malah lebih banyak restoran terkemuka di Selangor menawarkannya. Antaranya, Restoran Pelita, Syed Restoran dan Original Kayu Nasi Kandar. Nasi Ambeng merupakan salah satu makanan tradisional Selangor selain tempe. Nasi Ambeng sering kali disediakan dan dihidangkan di majlis keramaian atau pun kenduri-kendara. Ianya merupakan masakan Jawa yang popular terutamanya dalam masyarakat Jawa-Melayu.



           Gambar menunjukkan Nasi Ambeng yang merupakan makanan tradisional di negeri Selangor


Seterusnya, Negeri Selangor merupakan antara penyumbang terbesar perdagangan di Malaysia di mana urus niaga perdagangan ini melalui Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Kerajaan Negeri Selangor sedar bahawa jumlah perdagangan meningkat dari tahun demi tahun. Sehubungan itu, kerajaan negeri telah dan akan terus melaksanakan beberapa strategi pada tahun 2009 agar prestasi ini dapat dipertahankan. Sebagai contoh, mempromosikan kawasan-kawasan tertentu seperti Pulau Indah sebagai kawasan aktiviti perdagangan atau trading hub serta penyertaan syarikat-syarikat dari Selangor dalam pameran-pameran yang dianjurkan di dalam dan luar negara. Selangor juga merupakan negeri yang paling kaya di Malaysia berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita.

Bilangan penduduk di negeri ini juga merupakan yang paling ramai di Malaysia dengan taraf hidup yang sangat tinggi dan kadar kemiskinan di negeri ini adalah yang paling rendah di Malaysia. Selangor juga telah menyumbang lebih daripada 23% dalam sektor ekonomi di Malaysia, ini menjadikan ia sebagai negeri paling banyak memperoleh hasil di Malaysia.


                      Video menunjukkan pengiktirafan Selangor sebagai hab perniagaan di rantau Asean